Banyak diperkatakan bahawa hubungan kaum telah melangkah beberapa tapak ke belakang. Di antara bukti yang dikatakan ianya berlaku adalah pola-pola pengundian bukan Melayu terutama kaum Cina yang lebih memihak kepada Pakatan Rakyat. Keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang baru lalu menunjukkan di mana di kawasan majoriti Cina parti DAP telah menang besar dikatakan menguatkan bukti itu lagi. Kebelakangan ini, kemasukkan murid-murid Cina ke Sekolah-sekolah Cina amat tinggi peningkatan peratusan dan menyebabkan Sekolah-sekolah Kebangsaan hanya mengandungi murid-murid Melayu.
Ada beberapa perkara yang sekiranya disenaraikan disini menunjukkan pemisahan kaum ini semakin ketara dan membimbangkan. Apakah usaha pelbagai pihak selama ini tidak mendatangkan hasil walaupun Negara sudah mencapai kemerdekaan lebih dari setengah abad!
Gagasan 1Malaysia yang digerakkan oleh YAB Perdana Menteri semenjak memegang tampuk pemerintahan adalah satu manifesto kerunsingan terhadap perpaduan kaum. Berobjektifkan Pembentukan Negara Bangsa, ianya diharapkan dapat menguatkan ikatan rakyat yang pelbagai kaum berpadu dibawah konsep Negara Bangsa iaitu Bangsa Malaysia serta dapat mempertingkatkan patriotism.
Pelbagai usaha dijalankan di peringkat Persekutuan, Kementerian-Kementerian dan Agensi-Agensi Kerajaan namun kesannya tidak begitu memberangsangkan walaupun begitu banyak wang rakyat telah dibelanjakan. Kalau kita amati program-program yang dijalankan bukan sahaja banyak berlaku pembaziran tetapi juga ketirisan yang amat ketara. Rakyat memerhatikan jumlah wang yang dibelanjakan tidak setimpal dengan program malahan tidak setimpal juga dengan impaknya! Adakah ‘Impact Assesment’ pernah dilakukan di setiap program yang dijalankan oleh Badan-Badan Kerajaan ini?
Pada pengamatan saya, untuk Gagasan 1Malaysia ini menjadi satu realiti, ianya mestilah digerakkan diperingkat akar umbi melalui usaha rakyat itu sendiri iaitu dengan kerjasama satu perkumpulan (NGO) dengan NGO yang lain. Pengamatan dan pengalaman saya di dalam mengerakkan NGO-NGO di Gombak duduk di bawah satu bumbung iaitu Persatuan yang dinamakan ‘GABUNGAN NGO’ menampakkan hasil yang sungguh luarbiasa. NGO-NGO yang bernaung terdiri daripada pelbagai kaum, golongan umur, strata sosial, agama malahan latarbelakang politik, dapat bersama-sama bergerak melakukan aktiviti rakyat sama ada di dalam bentuk perkhidmatan dan kebajikan yang mana kumpulan sasarnya adalah golongan rakyat yang memerlukan , tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan fahaman politik.
Dikalangan Pemimpin-Pemimpin NGO ini pula terdiri daripada Pemimpin-pemimpin kaum dan masyarakat setempat di susun agar selalau bertemu dan berinteraksi sehingga hubungan mereka menjadi begitu akrab. Sudah ada interaksi dan perhubungan di antara Imam dan Sami Hindu,sudah ada keakraban antara guru silat dengan Kung Fu Master dan lain-lain contoh yang saya lihat tidak mungkin berlaku sekiranya Negara Bangsa yang dicita-citakan ini digerakkan secara serius di peringkat akar umbi.
Insyaallah, pada awal bulan Mei ini, buat pertama kalinya para pemimpin Masyarakat dan NGO daripada pelbagai bangsa, ugama dan latarbelakang akan bermukim selama 2 hari sambil menguatkan jatidiri disamping akan berbincang bagi mencari cara terbaik di dalam mengerakkan masyarakat dan seterusnya hidup secara harmoni seperti sebuah keluarga di Gombak.
Dr Rahman Ismail
No comments:
Post a Comment